Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Pembangunan Masyarakat
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 10 Mei. - Seramai 14 orang ketua keluarga menerima bantuan kewangan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan yang berlangsung di bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, di sini.
Salah seorang ketua keluarga daripada 14 yang menerima bantuan kewangan hari ini adalah mangsa yang terlibat dalam kejadian rumah roboh, enam ketua keluarga terlibat dalam kejadian banjir, empat ketua keluarga adalah mangsa kebakaran dan tiga ketua keluarga adalah mangsa kejadian angin kencang.
Kesemua mangsa dan penghuni rumah yang terlibat dalam kejadian bencana tersebut dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Hadir bagi menyampaikan bantuan kewangan kepada mangsa-mangsa bencana ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad.
Pemberian bantuan kewangan ini adalah bagi meringankan kesusahan yang dialami oleh mangsa-mangsa bencana demi kesejahteraan mereka sekeluarga.
Usaha ini menunjukkan keprihatinan dan pemedulian pihak kerajaan terhadap rakyat dan penduduk yang mengalami musibah.